21 December 2010

Murid tujuh tahun catat sejarah

LUMUT - Usia bukan penghalang bagi seorang perenang cilik maraton negara apabila Firman Hassanie Shauati Abdul Halim, yang berusia tujuh tahun, berjaya menamatkan misi berenang menyusuri Sungai Dinding sejauh 15 kilometer, Sabtu lalu. 

Firman, pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Ampang di Ipoh, yang juga adik perenang selat negara, Salman Ali Shariati dan Zahrah Masoumah, berjaya melakukannya dalam masa 10 jam 20 minit. 

Bapanya, Dr Abdul Halim Abdul Manaf, yang bertindak sebagai pengurus berkata, cubaan berenang itu dilakukan dalam misi ‘1Pelajar 1Komitmen’ menerusi Program Cintai Sekolah Kita Untuk Negeri dan Negara anjuran sekolah berkenaan. 

“Mengikut perancangan awal, Firman akan membuat tiga percubaan renang sejauh 12 kilometer dari kawasan pantai Lumut ke Kampung Telaga Nenas, yang terletak di Ayer Tawar Sabtu lalu sebagai percubaan pertama, Ahad (kedua) dan Isnin (ketiga). 

“Bagaimanapun, syukur kepada Allah, beliau berjaya mengharungi misi tersebut dengan hanya sekali percubaan sahaja, malah satu bonus kepada beliau kerana membuat jarak renangan sejauh 15 kilometer dan bukannya 12 kilometer seperti rancangan asal,” katanya. 

Beliau dan isterinya, Haniza Mohamed yang juga Pensyarah Politeknik Ungku Omar serta saudara-mara terdekat turut meraikan kejayaan Firman kerana berjaya menamatkan misi renangan itu yang bermula 9.15 pagi dan berakhir pada 7.35 malam di kawasan pantai Lumut. 

Beliau berkata, mengikut perancangan awal, Firman akan menamatkan renangan di Kampung Telaga Nenas, tetapi ketika sampai di Jambatan Raja Permaisuri Bainun dekat Kampung Baharu, beliau terpaksa berpatah balik berikutan arus deras. 

“Apa yang dipentingkan di sini ialah jarak renangan yang telah dibuat dan ini merupakan rekod baru untuk negeri dan negara. Berikutan kejayaan tersebut, saya bercadang untuk melibatkan ketiga-tiga adik beradik iaitu Firman, Salman Ali Shariati dan Zahrah Masoumah dalam Projek Ekspedisi Renangan Samudera 

Ekstrem Lima Benua (5XOE),” katanya kepada Bernama, kelmarin. 

Misi pertama 5XOE membabitkan Salman dan Zahrah telah berjaya dilaksanakan Mac lepas, yang melibatkan jarak renangan 60 kilometer dari Tanjung Medang, Pulau Rupat di Indonesia ke pantai Batu Empat, Port Dickson di Negeri Sembilan. 

Misi selanjutnya ialah Selat Cooks, New Zealand; Selat Gibraltar (Sepanyol-Maghribi); Selat Inggeris dan Lautan Trans-Atlantik (Benua Amerika-Eropah).

No comments:

Post a Comment