21 December 2010

Kemalangan Paling Dahsyat



IPOH - "Kemalangan yang berlaku begitu mengerikan. Terdapat mayat dipercayai terhumban ke luar di atas jalan dan di dalam longkang sejurus selepas pesiaran yang membawa pelancong Thailand terbabas," kata seorang saksi, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, semalam. 

Muhamad Shafwan yang mengikuti rombongan sekolahnya dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands berkata, beliau turut melihat mangsa yang cederamerangkak keluar daripada bas berkenaan untuk meminta pertolongan. 

“Saya juga nampak ada kanak-kanak terbaring di longkang dipercayai tercampak dari bas. Semasa bas sampai di sini, kemalangan itu sudah pun berlaku dan saya tidak berani untuk melihat dengan lebih dekat," katanya yang masih terkejut kerana melihat kemalangan ngeri itu di depan matanya. 

Seramai 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. 

Setakat ini, polis telah mengesahkan mangsa yang mati adalah 12 lelaki dan 15 wanita manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti. 

Mereka yang cedera dibawa dengan ambulans ke hospital manakala mayat dibawa dengan lori polis dan Jabatan Pertahanan Awam. 

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, yang mempunyai banyak cerun, dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2003 dan merupakan laluan alternatif ke Cameron Highlands selain jalan dari Tapah. 

Laluan itu juga digunakan bagi mereka yang mahu pergi Gua Musang melalui Lojing di Kelantan. 

Menurut sumber Tourism Malaysia, seramai 44 pelancong Thai menyertai pakej pelancongan ke Cameron Highlands menggunakan bas dua tingkat milik San Express Holiday dengan nombor pendaftaran AFX 2266 itu yang didaftar di Perak tetapi berpusat di Changloon, Kedah. 

Pengarah Urusan syarikat itu, Sor Eng Hock yang kini berada di Bangkok kerana urusan perniagaan, ketika dihubungi Bernama berkata, sebelum ini tidak pernah berlaku kemalangan melibatkan syarikat itu. 

“Tak sangka jadi macam ini. Saya tak tahu punca...saya kena balik dan bincang,” katanya. 

Syarikat yang didaftarkan pada 2007 itu mempunyai enam buah bas. 

Ditanya mengenai bentuk bantuan kepada mangsa, Eng Hock berkata syarikat akan merancang sesuatu. 

“Buat masa ini saya amat sedih... Saya memang terkejut. Saya tak tahu nak fikir atau buat apa-apa. Tapi kita akan rancang sesuatu untuk mangsa,” katanya. 

Kemalangan hari ini merupakan yang paling dahsyat dalam sejarah negara. 

Kemalangan terburuk melibatkan sebuah bas sebelum ini berlaku pada 13 Ogos 2007, apabila 20 orang terbunuh dan sembilan cedera di KM229 Lebuh Raya Utara Selatan, di Bukit Gantang dekat Taiping.

No comments:

Post a Comment